Saturday 4 May 2013

Jambolin Ciku Ciku dan Berlian Merah

Credit


Di sebuah negeri yang diberi nama Coki Antara, hidupnya seorang pemuda berambut belah tepi sebelah kanan bernama Jambolin bin Jambulaen. Oleh kerana pemuda kacak ini lahir di sebuah daerah Ciku Ciku sebelah utara negeri Coki Antara, maka dipanggillah beliau dengan nama manjanya “Jambolin Ciku Ciku”.

Hendak dijadikan cherita, Inche Jambolin Ciku Ciku adalah seorang penggemar berlian, espeseli berlian merah. Tidak kira berlian itu mentah ataupun masak ranum. Oleh kerana terlalu minatnya beliau akan berlian merah, setiap kali beliau berada di atas talian (Sebut: Online) Jambolian Ciku Ciku akan memuat turun sebanyak mungkin foto-foto ‘panas’ berlian merah untuk dijadikan sebagai gambar hiasan di paparan utama computer riba mahupun telefon bijaknya (Sebut: Smartphone).

Pada suatu hari yang mendung, digambarkan bahawa mendungnya hari itu sehingga ayam-ayam jantan jiran Inche Jambolin teragak-agak ingin melaungkan kokoknya atau tidak. Hari itulah juga Inche Jambolin dengan riangnya berada di atas talian untuk mencari berita hangit dan sensasi berlian merah yang digilainya itu. Entah bagaimana, tergerak hati untuk menekan papan kekuncinya dengan kata kunci “Berlian Merah Coki Antara”. Tidak sampai beberapa detik, keputusan carian Yippi! pun dipaparkan. Tetikusnya digelongsorkan ke bawah sambil sudut kanan paparan tersebut ditarik bersama.

“Berlian Merah Coki Antara ada di Sini!!!”

Gulp!

Punat kiri tetikus ditekan dengan hati yang sedikit bimbang.

Klik!

“Saudagar Berlian Merah Sendiri Korek Sdn. Bhd,
Inche Guli Gomo Gulama,
15-14-9947 Gomo Barat,
71600 Coki Antara.”

Lub dub… Lub dub… Lub dub…

Bunyi pembesar suara jiran sebelah sedang bingit menyumbangkan lagu tema cerpen ini.

“Ohoi! Ini peluangku! Aku bukan sekadar peminat, aku juga tentunya ada bakat!” monolognya sendiri.

Dengan pantas tangan Jambolin mencapai sebatang pen dan nota kecil di sudut mejanya, menyalin alamat tersebut tanpa  berfikir dengan lebih panjang lagi. Tiba-tiba ibunya menjerit memanggil namanya dengan lantang. Seakan penghujung cerita seram yang dikarangnya semasa kanak-kanak dulu yang selalunya berakhir dengan mimpi, beliau mula risau. Digosoknya mata ketat-ketat. Bukan mimpi rupanya.

Berkokok ayam jantan pada keesokan harinya, Inche Jambolin pun bersiap-siaplah untuk berangkat ke alamat yang ditetapkan; menemui seseorang yang sangat ingin beliau temui. Mamandangkan kedai Berlian Merah sekaligus kilang pemprosesan tersebut cukup terkenal, maka tidak menjadi satu masalah baginya untuk mencari ditambah lagi dengan kemudahan Pemandu Arah pada telefon canggihnya membantu dalam usaha mencari ilmu. Setelah beberapa ketika, maka bertemulah beliau dengan Inche Guli Gomo Gulama, si saudagar berlian itu.

Sekali pandang memang sesiapapun tidak akan menyangka bahawa seorang tua yang seakan-akan nyanyuk, memakai kaca mata ala-ala Superman itu adalah seorang jutawan dan pakar berlian bertaraf dunia. Orangnya cuma berpakaian sederhana, datang dengan kenderaan yang sederhana dan kata-katanya juga bersifat sederhana. Tinggi tak perlu dijelaskan lagilah. Pendek kata, segalanya tampak sederhana. Setelah beberapa kali bertanya dan membuat kepastian untuk sebenar-benar pasti, akhirnya Jambolin Ciku Ciku pun percaya setelah ribuan garu-tak-gatal di kepala.

Beliau menyatakan hasrat hatinya untuk bertemu dengan tokoh berlian tersebut dan sekaligus ingin menjadi seorang pakar berlian sepertinya.  Inche Guli Gomo memang faham sangat dengan kerenah orang muda seperti ini. Semangat tinggi dan tidak sabar, kadang-kadang hangat-hangat tahi ayam. Tanpa melengahkan masa, beliau pun mencapai seketul berlian mentah di dalam laci meja pejabatnya kemudian diberikan kepada Inche Jambolin.

“Ini adalah amanah. Jangan tinggalkan sekalipun anda dalam tidur. Genggam dengan kemas sepanjang anda berada di sini. Jika hendak keluar ataupun waktu bekerja sudah habis, berikan kepada saya. Okeh?” katanya penuh tegas.

“Orait!” jawab Inche Jambolin ringkas.
“Memandangkan ini langkah pertama untuk menjadi seorang pakar berlian, saya akan laksanakan sebaik mungkin!” Jambolin menambah sedikit memandangkan skripnya terlalu singkat.

Maka bermulalah pengajian berlian bersama Pak Chek Guli Gomo. Beliau menjadi pelajar sepenuh masa dan secara tidak langsung diberikan tugas sebagai penjaga kaunter pembayaran di kedai berlian tersebut. Berlian digenggam kemas tanpa sebarang rasa segan dan silu bahkan beliau terasa seperti ingin menadah hujan dengan lubang hidungnya. Erkk!

Hari kedua diikuti dengan rutin semalam dan kini sampailah ke bulan yang ketiga. Inche Jambolin tersangatlah hairan dengan kuliah pengajian berliannya yang tertangguh buat sekian lama dan ketulan itu sudah seperti menjadi sebahagian daripada tangannya. Namun, beliau masih melaluinya tanpa sepatah pun ayat tanya.

Kini, sudah lima bulan berlalu. Yalah, hati siapa tidak musykil dan tertanya-tanya. Asyik ke hulu sampailah ke hilir dengan berlian mentahnya itu. Kali ini Jambolin berang sedikit.

“Apa yang Pak Chek Guli lakukan kepada saya yang masih mentah ini? Adakah pak chek cuba mempermain-mainkan saya?” katanya berang.

“Bukan sudah ku katakan wahai Jambolin Ciku Ciku? Buat sahaja, jangan banyak soal.” balas Pak Chek dengan lembut.

Jambolin keluar dengan hati yang panas. Langkah dihentaknya keras tanda protes. Ketulan berlian itu masih digenggamnya erat. “Diamkan sajalah!” bisik hatinya.

Kini sudah masuk bulan kedelapan dan Jambolin masih lagi setia dengan ketulannya itu. Kerana terlalu lama menggenggam berlian tersebut, bau tangan dan bau berlian sudah seakan-akan sama walaupun sedah dibasuh berkali-kali. Inche Jambolin mentekadkan hatinya untuk menghentikan sahaj perbuatan dan niat hatinya itu. Dia sudah serik untuk diperbodohkan lagi.

Seperti yang dirancangkan, Inche Jambolin Ciku Ciku pergi ke kedai berlian itu seperti hari-hari biasa. Beliau tidak tidur semalaman memikirkan ayat-ayat yang sesuai untuk mendepani orang tua sebegitu. Tangannya berpeluh, sedikit menggeletar dengan harapan beliau boleh menang debat kali ini. Tidak seperti ratusan cubaan yang lepas.

Langkahnya semakin perlahan menuju ke kelopak pintu “Inche Guli Gomo Gulama.” Bunyi degupan jantungnya makin kuat namun terlalu perlahan rentaknya seiring dengan deruan kipas di siling dan mesin fotostat di sebelah kirinya. Daun pintu diselak dan segalanya seakan terhenti. Detik jam di tanggannya sudah tidak berbunyi namun tekad di hati melebihi segala yang terhenti. Dengan kata-kata yang sudah direkod rapi semalaman, Jambolin memulakan bicara.

“Pak...”
“Uhuk! Mesti kamu nak hentikan “Latihan Menggenggam Berlian Mentah” ini bukan? Sapa Pak Chek Guli senafas tanpa henti.

Jambolin diam membisu. Mengatur susun ayat hujahnya. Baru sahaja beliau ingin memulakan bicara, Pak Chek Guli menyapa lagi.

“Sudahlah Jambolin. Jangan kau choba untuk merayu diri ini lagi.”

Jambolin diam sesaat. Tidak. Dua tiga saat begitu. Segalanya bisu.

Pak Chek Guli Gomo Gulama dengan selamba mencapai seketul batu, seperti biasa dan memberinya kepada Jambolin yang masih belum bisa menstabilkan emosinya lagi.

“Sudah. Pergilah sambung kerjamu nak.”

Jambolin dalam hibanya mengerutkan kening sambil meramas-ramas batu yang diberi kepadanya sebentar tadi. Keningnya bertambah kerut, kecut, hirut mirut.

“Maafkan saya pak chek, tapi ini bukan batu berlian!”

Pak Chek Guli Gomo Gulama pun tersenyum unta.


End of Story



“Setiap murabbi perlu ada skill yang unik dan tersendiri untuk menghandle setiap mutarabbinya. Bukan semua buah tomato memiliki bentuk yang sama meskipun warna merahnya lebih kurang serupa. (Abaikan yang tidak perlu)” – Inche Tomato



P/S: Inche Tomato berjaya menyiapkan cerpen ini yang telah diterbitkan sebelumnya dengan bantuan beberapa pembantu utama iaitu Bun, Bian, Yori & Torara. Dimulakan di sebuah negeri yang lain dan habis ditulis di sebuah negeri yang lain.

No comments:

Post a Comment