Allah mengurniakan manusia dengan "level" rezeki masing-masing. Namun Allah tak pernah tutup pintu rezeki tu..maknanya kita boleh minta lagi la kan? Boleh...apa salahnya..
Kadang kala kita tak sedar tentang hal remeh ni. Kalau dah dpt "idaman kakanda" baru ingat 'Alhamdulillah'.
Setiap hari...(aduiii...setiap hari lagii..) terasa seperti kitalah satu-satunya manusia yang paling malang sekali di dunia. Masalah datang, mengeluh. Masalah datang, mengeluh. Masalah datang lagi, kompem mengeluh...sampai berpeluh-peluh. Merungut panjang, tak dapat tidur dengan lena, tak ada 'mood' nak 'online'. Tahu tak bersyukur tu lebih banyak faedahnya daripada mengeluh? Tak percaya???
Ok...kita fikir logik...
Cuba tengok kening orang yang tengah merungut dengan orang yang sentiasa bersyukur. Ada beza tak? Mestilah ada... Tengok dari kening dah tahu kita nak pilih mana satu yang lebih baik.
Saya nak ceritakan satu kisah seorang yang sangat-sangat baik. 100% lebih baik dari saya sendiri. Bukan nak mengaibkan beliau, tetapi sekadar untuk merenung, di manakah tahap kita.
Suatu saat dahulu, tatkala generasi awal manusia diturunkan lahirlah seorang insan yang sangat tinggi 'level' syukurnya kepada Allah. Beliau mempunyai harta yang sangat banyak, tanaman menjadi, anak pinak ramai dan sentiasa hartanya diberikan kepada orang-orang yang kurang bernasib baik namun beliau tidak pernah lambat untuk sujud kepada Allah.
Dipendekkan cerita, suatu hari segala tanamannya musnah, haiwan ternakannya mati, segala hasil titik peluhnya musnah dalam sekelip mata. Timbul pelbagai spekulasi tentang beliau. Masyarakat sekeliling mula beranggapan bahawa beliau culas dalam ibadah, melupakan zakat dan banyak lagi. Tapi tidak kurang juga ada yang menganggap ia sebagai ujian buat beliau.
Beliau tetap sabar dan berkata, "Semua itu, adalah kepunyaan Allah. Diberikan Allah kepadaku, kemudian diambil Allah kembali. Maha terpuji Allah yang telah memberi harta itu kepadaku dalam masa yang begitu lama dan Maha terpuji Tuhan yang telah mengambil kembali harta itu, kerana memang milikNya. Puji bagi Allah yang memberi dan mengambil, di waktu memberi nikmatNya dan mencabut nikmatNya itu kembali. Maha terpuji Tuhan yang mendatangkan bahagia dan menurunkan seksa. Dia Tuhan yang satu, Raja dan segala raja. DiberikanNya kekuasaan dan kekayaan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia cabut kekuasaan dan kekayaan itu dan siapa saja yang Dia kehendaki."
Selepas kejadian itu, datang lagi bencana yang tidak diundang. Seluruh harta bendanya musnah. Semua anak-pinaknya terkorban bersama bencana tersebut. Beliau menangis tersedu. Sedih yang teramat sangat. Gila kalau tak sedih...
Beliau berkata pula, "Allah memberi, Allah mengambil, Allah menghidupkan dan Allah mematikan. Atas semua itu aku memuji akan Allah yang menjalankan hakNya itu."
Kemudian ditimpakan pula penyakit yang teruk kepada beliau. Semakin hari semakin kurus badannya. Bertahun-tahun terlantar di atas katil, tidak berupaya untuk melakukan apa saja kerja. Sahabat yang dulunya rapat, semakin berkurang. Jarang sekali bertemu atau menjenguk beliau. Lama kelamaan, orang yang dulunya sahabat karib, kini menjadi "tukang halau" pula. Diusir beliau dan isterinya yang setia ke tempat yang jauh kerana dikhuatiri penyakitnya berjangkit. Sumber makanan mereka disekat. Tidak dibenarkan sesiapa memberi makan.
Bayangkan kalau dalam 'muka buku', dulunya orang tu "brothers" dgn kita, sekarang dah tinggal 'friend'. Lepas tu kena 'remove' pula. Satu persatu pergi. Tak habis lagi, kena 'block' tuuu...langsung tak dapat jumpa lagi.. Aduuuu...sedih..
Beliau cuma berkata, "Ya Allah, Tuhanku, aku redha kalau Engkau cabut daripadaku akan nikmat Mu yang bernama hartabenda, anak turunanku dan kesihatan badanku, bahkan aku redha kalau Engkau cabut dariku akan segala darah dan dagingku, serta kalau perlu boleh cabut segala tulang-belulang dan semua anggota badanku. Hanya aku berharap agar jangan sampai Engkau mencabut dua perkara (nikmat) Mu, iaitu akal fikiran dan lidahku, kerana aku memerlukan akal dan fikiran itu, guna mengingatMu dan aku memerlukan lidah itu, untuk dapat menyebut nama dan memujiMu."
Sampai suatu tahap isterinya berkata, "Kenapa engkau tidak mendoa kepada Tuhan untuk melenyapkan kesedihan dan petaka atas dirimu ini?"
"Berapa tahunkah kita mendapat kesenangan dan bahagia?" tanya beliau pula.
"Selama berpuluh-puluh tahun", jawab isterinya.
"Berapa tahunkah kita menderita?" tanya beliau lagi.
"Baru tujuh tahun", jawab isterinya pula.
"Dari itu aku malu kepada Tuhan meminta hilangnya petaka yang
baru sebentar ini."
~THE END~
Cuba bandingkan tahap "kesusahan" yang dialami oleh beliau berbanding kita. Tak malukah kita mengeluh setiap hari tentang nikmat yang Allah beri? Sungguh, dunia dan seisinya tidak akan mampu memuaskan nafsu manusia.
![]() |
Al-Anbiyaa' 21:83 |
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani". Al-Anbiyaa' 21:83
Wallahualam . . .
*Beliau yang dimaksudkan ialah Nabi Ayub A.S
No comments:
Post a Comment