Tuesday 20 March 2012

Dua Puluh Maret

Dua Puluh Mac Dua Ribu Sebelas
“Aku seakan lupa akan peristiwa tarikh ini. Begitu gembira masuk ke kelas tanpa ingatan apa-apa. Betul. Baru saja tadi mengajar anak murid akan tajuk mati, masuk ke kelas lain dan melukis “My Family”. Terlintas fikiran akan ‘dia’ sudah tiada. Tapi aku masih tak perasan apa-apa.
*             *              *
1829, 20 Mac 2012
Telefon berdering, panggilan dari ibu tersayang. Tidak sempat aku mengangkatnya. Aku menggores cepat-cepat kad isian semula, baru sedar aku sudah tidak menelefonnya selama dua minggu. Telefon berdering lagi. Aku angkat.
Ibu: Assalamualaikum...
Aku: Walaikumsalam mak...
Wah! Rindunya. Rindu dengan orang tua. Orang tua? Ibu? Ayah?
Hah! Baru aku sedar. Bagaimana aku boleh lupa dengan tarikh paling pahit ini? Mahu saja aku mengalirkan air mata, mencari suara seorang bapa. Baru aku perasan, genap setahun papa pergi. Tapi kata ibu tarikh Hijrah bukan hari ini.
Aku cuma mengangguk dan menggeleng mendengar celoteh ibu. Banyak ceritanya. Tersenyum sendiri. Biasalah, bukan selalu begini. Dengar khabarnya rumah baru kami masih belum siap lagi. Biarpun tidak sebesar dan sehalus hasil kerja papa yang sudah dihanyutkan arus api, tapi aku yakin ia masih mampu menampung kasih sayang seorang ibu untuk kami. Aku tersenyum lagi.
Ibu kuat, aku tahu. Aku tahu dari riak matanya. Aku kenal ibu siapa. Detik cuti yang lepas, ibu banyak bercerita pasal papa dan tidak kurang juga sedikit keluhan. Aku tahu, perasaan kami tidak sama. Dia lebih lama bersama papa. Dia lebih tahu senyum tawa dan tangis papa, ribuan kali lebih daripada kami semua.
Ibu sedih, sangat-sangat sedih. Aku tahu. Nafas terakhir papa dia jejaki dari balik daun pintu cuma. Siapa yang sanggup menghantar orang yang paling disayanginya pergi, tidak kembali? Seminggu matanya tidak kering. Tidak, lebih dari seminggu. Hanya Allah yang tahu.
Tiga bulan berlalu, cuti penggal pertama. Ibu kulihat sudah mampu tersenyum, meskipun terpaksa. Aku gembira, sangat gembira. Rumah tinggalan papa itu kami jadikan tempat mengadu rindu, sekurang-kurangnya ada bau papa. Aku tersenyum lagi.
Enam bulan, ibu telah gembira seperti dulu biarpun lima puluh peratus senyumannya sudah tiada lagi. Sebentar leka, Allah menegur kami dengan api dan semuanya tinggal abu. Aku tahu, ibu mampu menanggungnya.
Bagaimana pula dengan aku?
Aku malu untuk menceritakannya. Aku tersenyum lagi.
Beginilah rasa bila ayah tiada...
Beginilah rasa bila kau benar-benar ‘hilang modal’, kosong...
Tapi...
Bila difikirkan dalam-dalam, akhirnya aku mengerti...
Bagaimana perasaan saudaraku di Palestin, dan di seluruh dunia.”

Kadang-kadang kita terlupa...

No comments:

Post a Comment