Thursday 13 September 2012

Penutup Botol Oren

"Pak! Memangnya belog ini dihapdet sebulan sekali ya?"

Saya belum menjadi seorang ayah lagi. >.<'
Titik. Itu bukan topik kita hari ini.

Henche Serai memang pemalas orangnya. That is a fact.

Hari ini, ramai sangat yang menolak takdir. Mengapa? Adakah disebabkan ianya tidak menepati KPI yang anda tetapkan? Oh, mungkin menolak takdir itu sungguh tragik bunyinya. Kita tukar dengan tidak menerima takdir. Nampak ringan sedikit.

Benar bukan? Tak perlu anda ke supermarket atau ke hypermall untuk memastikan benda ini berlaku, dan sememangnya sedang berlaku. Anda cuma perlu ke mana-mana laman sosial (khususnya muka buku - [sebut: facebook]), pastinya ada puluhan keluhan begitu. Mengapa?

[credits]

("Mengapa" lagi...=.=')

Saya memerhati dari tempat duduk saya sendiri. Nampaknya seperti manusia zaman ini sudah hilang sabar lagaknya. Kurang rasa syukur dalam diri. Tidak ada lagi rasa redha dengan ketentuan Ilahi. Apa pun yang terjadi, takdir setiap jiwa itu sudah pun dicatat rapi. Sejak dari datangnya ke bumi, hinggalah ke detiknya kembali.

Kadang kala kalau difikirkan tentang takdir (ketentuan), pening jadinya bukan? Macam tak masuk akal langsung.

Apa yang Henche Serai faham dengan takdir?


"Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna." [Al-Furqaan 25:2]

Takdir adalah setiap ketentuan Allah buat setiap makhluknya. Rezeki, jodoh, hidup, mati, laptop baru, Samsung W itu semua terkandung dalam takdirNya. Allah adalah Maha Pencipta, Maha Sempurna dan sebaik-baik penyusun. Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu, lalu menyusun (menetapkan) keadaaan (takdir) setiap makhluknya pada suatu tapak yang sempurna. Ini bermakna, takdir setiap makhluk telah disusun dari awal penciptaannya hingga akhir.

Tetapi mengapa ramai yang tidak menerima takdir? Sebab kita masih lagi belum berserah sebenar-benar kepada Maha Pencipta. Bagaimana rasanya bila sudah membanting tulang berusaha, bermandi peluh dan memerah keringat mencari rezeki namun apa yang diperoleh cumalah sesuap nasi. Nak jerit puas-puas? Nak bakar pokok pisang yang jarang berbuah dua kali? Atau nak tarik rambut sendiri sampai bertukar menjadi putih? Mungkin ia satu contoh yang kurang sesuai buat mereka yang lebih senang, tapi cubalah bayangkan. Ataupun kenangkan kembali masalah lain yang mampu menyeret anda berbuat sedemikian.

Tentunya wujud rasa tidak puas hati, geram dan marah bila kehendak kita tidak dituruti setelah puas berusaha, meminta dan meletak harapan dan kepercayaan yang tinggi. Seperti bayi yang kecil, merengek bila tidak diberi susu, menangis bila tidak diturut mahunya. Ada benarnya, manusia itu tetap sama. Dari kecil hinggalah dewasa sampailah ke tua. Cuma reaksinya yang lebih matang dan tersusun serta terancang.

Kadang kala hati yang tidak dapat bersabar lazimnya meminggirkan segala ketetapan Allah dan meletakkan apa yang dimahukannya di hadapan. Hati yang bersih dapat melihat dengan lebih jelas apa yang Allah maksudkan dengan menghantar beberapa cebisan takdir untuk manusia, sama ada ianya baik atau sebaliknya.

Cernaan hati setiap manusia berbeza, ia lebih bergantung kepada bersih atau tidak. Semakin bersih, tapisannya juga menjadi semakin halus, begitu juga hadamannya.

Apa yang paling penting adalah tolak jauh-jauh sikap menganggap Allah sebagai tidak adil. Sebagai seorang manusia biasa, tentunya terbaik itu adalah pilihan utama. Tetapi belum tentu ia adalah satu pilihan yang sempurna. Bila hati merengek atas sebab tidak berpuas hati, ingatlah bahawa Allah telah menetapkan takdir yang sempurna. Pencipta takdir sendiri yang mengatakannya sempurna, bagaimana seorang hamba kerdil seperti saya boleh menidakkannya? Ada kesalahan konsep di situ.

Kesimpulannya, dalam apa sahaja yang Allah rezekikan setelah kita berusaha, berdoa dan bertawakkal wajib diterima dengan seadanya. Bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan datang menimpa. Ada kalanya rezeki itu datang dengan bencana dan lazimnya datang dengan gembira. 

Jadi? Kalau taufan bertiup, jangan salahkan takdir, salahkan diri sendiri kerana tidak bersyukur menerima ketentuan yang sempurna  khusus dikirim buat hamba-hambanya yang terchenta. Usaha itu nilaiannya terasing dan doa serta tawakkal adalah sebahagian daripadanya. Apa yang penting? Jangan putus asa dengan rahmat Allah.

P/S: Tajuk yang disediakan langsung tidak berkait rapat mahupun sendat dengan post. Selepas ini, Henche Serai akan lebih berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam pemilihan tajuk post-post akan datang. Doakan saya untuk terus tsabat. Sungguh, doa sahabat pengukuh istiqamah. Jumpa lagi di tulisan akan datang (mungkin sebulan juga dari sekarang...=.=')

No comments:

Post a Comment